Lebih spesifik memudahkan usaha menawan dan mengekalkan tiga kawasan dewan negeri dan satu parlimen dalam kawasan Lumut dari menjadi habuan pembangkang dalam PRU ke13 pula.
Selepas Lembah Kinta, DAP kini berusaha pula menganjakkan pengaruh ke Lumut sebagai satu lagi strategi untuk menguasai negri Perak.
Perak Tengah dilihat lebih strategik bagi pembangkang untuk menguasainya kerana pengaruh masyarakat Cina serta juga kekuatan PAS di kawasan kejiranan Lumut iaitu Parit.
Hampir 80 peratus penduduk Sitiawan terdiri dari orang-orang Cina.
Pengerusi DAP Negeri, Dato’ Ngeh Koo Ham sudah dua kali menjadi ADUN Sitiawan sejak 2004. Ketika BN menang dengan “landslide victory” dalam PRU ke12 pun, Ngeh berjaya mengekalkan Sitiawan.
Justeru kedatangan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak serta barisan kepimpinan negara bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina pasti dinanti-nantikan oleh penduduk tempatan.
Bagi MCA, Dato' Seri Najib telah mempamerkan kepemimpinan yang lebih hebat dari Anwar Ibrahim terutama mengenai konsep perpaduan kaum melalui program 1Malaysia.
Anwar sebaliknya dilihat sebagai “political animal” yang matlamatnya mahukan sokongan masyarakat Cina kerana melalui sokongan masyarakat Cina, membuka laluan ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri.
Sebab itu Anwar dilihat mudah menabur janji meskipun janji yang ditabur itu kadangkala ditertawakan umum kerana janji Anwar adalah janji orang politik yang boleh saja berubah mengikut peredaran waktu.
Pengundi-pengundi Cina di kawasan ini mahu jaminan serta “first hand news” daripada Najib tentang peluang ekonomi serta jaminan masa depan mereka dalam bidang ekonomi sebelum mereka mengekalkan BN.
Kekecewaan masyarakat Cina di kawasan Sitiawan kepada pembangkang dapat dirasai dengan program anjuran MCA dan NGO-NGO yang menyokong MCA dan Gerakan semakin mendapat sambutan.
Setiausaha Agong MCA merangkap ahli parlimen Lumut Dato’ Seri Kong Cho Ha mengakui trend masyarakat Cina dan melihat NGO-NGO Cina sudah mula memberikan sokongan padu kepada MCA.
Kemunculan Najib dalam banyak program turun padang di beberapa negeri sebelum ini telah menjadi buah mulut dan dilihat lebih mesra rakyat dari mengamalkan pentadbiran “dari Putrajaya saja.”
Faktor Zambry sebagai ADUN Pangkor dan Menteri Besar yang tidak jemu-jemu turun padang khusus di Lumut dan Pangkor semakin menguatkan hujah kemenangan.
Bagi masyarakat Cina khusus di Sitiawan peluang perniagaan jauh mengatasi sentimen politik kerana “akhirnya mereka mahu memperkukuhkan ekonomi serta mahukan Sitiawan (dan Lumut) maju macam Lembah Kinta”.
Pengundi-pengundi Cina (di Sitiawan) nak melihat dan mendengar amanat Najib dalam kontek rancangan transformasi ekonomi dan tempias yang bakal mereka nikmati.
Sitiawan sebelum ini merupakan kubu MCA tapi dalam PRU ke11 lalu, kubu itu mengalami perubahan mendadak apabila wakil Dap, Datuk Ngeh Kho Ham diberikan mandat baru.
Penduduk Sitiawan majoritinya adalah masyarakat peniaga dari suku kaum Foochow.
Awal 1900 sekumpulan 360 penganut kristian berketurunan Foochow melarikan diri dari negeri China (daerah Fujian) kerana kemiskinan. Dua orang paderi mengetuai migrasi ini dan mereka memilih menetap di Kampng Koh, Sitiawan.
Dan bagi sesiapa yang terlupa sejarah, bekas pemimpin PKM, Chin Peng lahir di Sitiawan pada tahun 1924.
Sitiawan juga dikatakan mengambil nama sempena kesetiaan dua ekor gajah yang mati ketika salah seekor cuba menyelamatkan seekor lagi yang terperangkap dalam lumpur di Sungai Dinding. Ketika itu gajah digunakan sebagai pengangkutan membawa bijeh timah.
Peristiwa itu berlaku di Kampung Sungai Gajah Mati ketika air surut dan gajah yang terperangkap cuba diselamatkan orang-orang kampung namun gagal. Melihat ‘rakan’nya ‘terperangkap dalam lumpur’, seekor lagi memaut rakannya—akibatnya kedua-dua tenggelam dan mati dalam lumpur.
Bagi masyarakat tempatan khusus masyarakat Cina, kesetiaan atau setiakawan dua ekor gajah diterjemahkan dengan menamakan pekan itu Sitiawan.
Pada PRU ke11, Koo Ham mengalahkan calon BN dengan kelebihan 5,137 undi. Pada PRU ke12 pula, Pengerusi DAP Perak itu sekali lagi mengulangi kemenangan dengan mengalahkan Ding Siew Chee (MCA) dengan majoriti meningkat kepada 8,529 undi. Pengundi terdiri dari 80 peratus pengundi Cina berbanding 9 peratus Melayu.
Bagi pengundi keseluruhan parlimen Lumut, pengundi Melayu pula berjumlah 49 peratus, Cina 39 peratus dan baki, 12 peratus, pengundi India.
Cho Ha yang juga Menteri Pengangkutan menang di parlimen Lumut menentang calon PKR, Suwardi Sapuan dengan undi majoriti 298 undi.
Dalam pilihanraya sebelumnya Cho Ha memperoleh 11,614 undi majoriti.
Menteri Besar Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir yang juga Ketua UMNO bahagian Lumut menang di Pangkor, yang mempunyai penduduk ramai Melayu, dengan undi majoriti 5,785, mengalahkan Pakhrazi Musa (PKR).
Zambry muncul sebagai ADUN BN yang peroleh undi majoriti tertinggi dalam PRU ke12 di tengah-tengah tsunami politik.
Dan peluang BN untuk mengukuhkan kedudukan di Lumut ekoran DUN Sungai Panjang (kini dipegang Nizar Jamaluddin ) dipulangkan kepada UMNO. Dalam PRU ke12, DUN ini ditandingi wakil MIC. YB Nizar dikatakan akan berpindah ke kawasan lain dalam PRU ke13.
Sambutan Rumah Terbuka 1Malaysia sempena Tahun Baru Cina di Sitiawan mampu membawa angin perubahan khususnya dikalangan masyarakat Cina untuk menyokong MCA.
Sultan Perak Sultan Azlan serta kerabat diraja dijangka berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menganggarkan 50,000 pengunjung bakal memeriahkan majlis berkenaan yang bermula jam 8.00 malam.
